Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menyeru kerajaan Malaysia dan Kemboja untuk mencari jalan penyelesaian dan menggubal satu lagi Memorandum of Understanding (MoU) untuk membenarkan rakyat Kemboja bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah.

Akhbar Cambodia Daily sebelum ini melaporkan bahawa rundingan menghadapi jalan buntu selepas Malaysia menolak 90 peratus daripada peruntukan yang dicadangkan untuk melindungi hak-hak pekerja.

"Saya tidak mempunyai akses kepada MoU dan apa sebenarnya yang ditolak Malaysia. Jadi sukar untuk saya mengulas," kata Engku Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa Malaysia tidak akan menolak bulat-bulat kerana negara memerlukan lebih ramai pekerja asing untuk memenuhi kehendak majikan tempatan.

"Kemboja mungkin lebih berhati-hati kerana beberapa kes yang melibatkan pembantu rumah asing. Peraturan-peraturan dalam MoU mungkin lebih ketat untuk melindungi pekerja Kemboja. Pada masa yang sama saya rasa Malaysia mahu melindungi kepentingan majikan Malaysia juga.

Apabila menjelaskan kepada beliau bahawa beberapa permintaan yang berkemungkinan ditolak Malaysia termasuk memberi makan tiga kali sehari dan untuk rakyat Kemboja meyimpan sendiri pasport mereka, Engku Ahmad berkata bahawa ini adalah permintaan yang sama dari Indonesia.

"Ini adalah sama seperti perjanjian Malaysia dengan Indonesia. Mereka sudah pun dibenarkan menyimpan pasport mereka," katanya.

Cambodia Daily juga melaporkan bahawa Putrajaya menolak permintaan Kemboja untuk membenarkan pekerja asing melihat dan menandatangani kontrak pekerjaan mereka sebelum meninggalkan Kemboja dan simpanan cuti tahunan.

Akhbar berkenaan juga mendakwa bahawa Malaysia kembalikan MoU dengan garis hitam atas peruntukan yang majikan perlu "menghormati hak asasi manusia pekerja domestik."

"Ia menimbulkan persoalan: Bagaimanakah majikan Malaysia melihat pekerja Kemboja," tanya Jenna Holliday, pakar komunikasi PBB (Wanita).

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menghentikan penghantaran pembantu rumah Kemboja ke Malaysia pada tahun 2011 berikutan laporan penderaan dan eksploitasi seks.